Rasulullah SAW Contoh Terbaik Sebagai Ahli Politik
ISLAM yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW bukan sekadar menyeru manusia seluruhnya untuk beribadat dalam konteks solat semata-mata, tetapi perkara yang lebih besar daripada itu, iaitu menjalankan tugas utama manusia di muka bumi ini, iaitu menjadi khalifah Allah, dengan melaksanakan segala hukum-hakam Allah SWT. Apabila ia berjaya dilaksanakan dalam sebuah negara yang diperintah oleh individu yang cintakan Islam, maka seluruh bentuk ibadat khusus dan umum boleh dilakukan tanpa sebarang sekatan dan halangan.
Kekhilafahan yang dijalankan oleh baginda itu berteraskan kebenaran wahyu Ilahi walaupun pada masa itu ayat-ayat Al-Quran masih di peringkat penurunan sedikit demi sedikit. Tetapi apa yang penting kesediaan dan kesanggupan baginda yang dibantu oleh para sahabat untuk mendaulatkan syariat agama Allah SWT dalam bentuk yang lebih praktikal.
Sebagai ahli politik berpengaruh yang mentadbir negara, baginda meletakkan asas-asas keimanan menjadi agenda utama dalam diri segenap manusia tanpa mengira perbezaan suku kaum, malah telah menyediakan dasar dalam dann luar negara yang komited kepada Islam. Mengenai dasar politik dalam negara, baginda menyediakan asas kemudahan rakyat sama ada dari sudut pembelajaran, keperluan hidup menjadi tanggungjawab pemerintah seperti air, api dan padang rumput yang boleh dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat.
Sementara dasar luar negara pula, baginda berusaha untuk memperkenalkan Islam kepada para pemerintah melalui para utusan baginda bagi menyatakan kesediaan mereka untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup. Justeru, baginda mewajibkan umat Islam supaya mengeluarkan zakat dan bukan Islam pula dikenakan bayaran cukai, ia tidak lain adalah bertujuan unttuk keharmonian rakyat sejagat melalui agenda mantap sistem perekonomian yang berteraskan Al-Quran.
Kejayaan baginda itu ditiru dan diteruskan oleh para pemimpin selepas kewafatan baginda seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Othman Affan,Ali bin Abi Talib dan beberapa pemerintah selepas itu.
Disunting dari buku ' Khalifah Islam Kembali: Bermula di Bumi Kinanah' karya ZAINUDIN HASHIM
Comments
Post a Comment