"Saya sudah penat Pakcik. Sudah bermacam perkara saya buat. Sudah jauh saya berjalan. Semuanya demi mencari kebahagiaan hati. Tapi sampai sekarang, perasaan itu tidak pernah kunjung tiba. Entahlaa.. apa lagi yang harus saya buat..."
Keluh pemuda itu di hadapan lelaki tua. Wajahnya kelihatan begitu muram.
"Depan sana ada sebuah taman. Pergilah ke sana dan tangkaplah seekor rama-rama, setelah itu aku akan selesaikan masalah kamu ini", jawab lelaki tua itu sambil tersenyum.
Walaupun agak ragu, anak muda itu tetap melakukannya seperti yang disuruh. Tiba di sana, dia terkejut melihat taman yang indah dengan pohon dan bunga yang mekar serta rama-rama yang bebas berterbangan.
Dari jauh, lelaki tua tadi hanya memerhatikan pemuda itu menangkap rama-rama seperti yang diarahkannya. Terhendap-hendap.. pemuda itu cuba mendekati rama-rama. Tupp! Sasarannya terlepas
Dikejarnya kupu-kupu yang lain pula. Terlepas juga. Anak muda itu terus berlari kesana-kesini, meredah pokok-pokok bunga. Tetapi dia tetap hampa. Hampir sejam begitu, tak seekor pun rama-rama yang berjaya ditangkapnya. Lelaki tua tadi mendekati dan menghentikan pemuda tadi.
"Sudah! Berhenti. Begitukah cara kamu menangkap rama-rama? Berlari tanpa arah. Begitu jugakah kamu mengejar kebahagiaan? Sibuk berlari kesana kesini. Tanpa arah tujuan, tanpa mempedulikan apa yang ada di hadapan kamu". Kata lelaki tua itu.
Kemudian lelaki tua tadi melanjutkan lagi kata-katanya. "Anak muda, mencari kebahagiaan sebenarnya sama seperti rama-rama. Tidak perlu tangkap fizikalnya. Biarkan rama-rama itu memenuhi alam semesta ini, sesuai dengan fungsinya, sebaliknya tangkaplah keindahan warna dan gerakannya di fikiranmu. Kemudian simpan baik-baik di dalam hati.
"Begitu juga dengan kebahagiaan, sebenarnya kebahagiaan bukanlah benda yang boleh digenggam dan disimpan di suatu tempat. Ia juga tidak pergi ke mana-mana akan tetapi ia ada di mana-mana.
"Peliharalah sebaik-baiknya. Laluilah setiap saat dengan rasa syukur. Maka, tanpa anak sedari, kebahagiaan itu akan datang dengan sendiri. Anak faham sekarang?" kata lelaki tua itu panjang lebar.
Sebaik sahaja mendengar penjelasan orang tua tadi, wajah pemuda itu menjadi tenang
"Terima kasih pakcik, saya sudah faham. Saya akan pulang dan membawa kebahagiaan ini di hati. Jawab pemuda tersebut. Pemuda itu mengangkat tangannya, seekor rama-rama hinggap di hujung jarinya sambil mengepakkan sayap, memancarkan keindahan ciptaan tuhan.
Waktu itu, baru anak muda itu tersedar. Dia yang tersilap memilih langkah. Memang benar, setiap manusia ingin memiliki kebahagiaan. Mereka seringkali sibuk mencarinya, tanpa menyedari bahawa kebahagiaan sesungguhnya tidak kemana- mana tetapi ada di mana-mana. Kebahagiaan sentiasa hadir di setiap tempat dan tentunya pada mereka yang mempunyai hati yang sentiasa bersyukur.
Sumber: Mastika
Comments
Post a Comment