"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan agama kamu bagi kamu, Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam menjadi agama untuk kamu"Maksud firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 3 jelas bahawa Islam agama yang sempurna dan diredaiNya.
Orang yang mengaku Islam sepatutnya berasa amat bersyukur kerana diberikan hidayah olehNya sama ada semenjak dilahirkan ke dunia ataupun melalui pencarian yang datang kemudiannya.
Bukan hanya agama Islam adalah agama diredai Allah SWT. Tetapi juga satu agama yang sempurna merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.
Tiada perintah dan larangan yang terkandung dalam Al- Quran bertentangan dengan fitrah manusia. Malah ia dapat dibuktikan melalui kaedah saintifik.
Justeru, rasa syukur itu seharusnya dikongsi dengan manusia lain. Keindahan ajaran Islam diceritakan dan ditonjolkan sebaik-baiknya.
FirmanNya yang bermasud:
" Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang yang) bertaqwa" (Surah Al-Baqarah, ayat 21)Ayat berkenaan jelas menunjukkan bahawa Allah SWT adalah Tuhan bagi seluruh manusia. Hanya Dialah yang layak disembah, yang mempunyai kekuasaan ke atas hamba yang diciptaNya
Tiada kerugian atau kemudaratan bagi Allah SWT sekiranya manusia sombong daripada beribadat kepadaNya bahkan manusia itulah sendiri yang rugi. Dia juga tidak meminta rezeki daripada manusia. Sebaliknya, Dialah yang memberi rezeki kepada hambaNya.
Pelbagai cara boleh kita gunakan untuk berkongsi keindahan Islam dengan masyarakat sekeliling. Paling penting ialah berkongsi perkara asas yang membina agama Islam
Sehingga hari ini, walaupun Islam sudah lama bertapak di Malaysia dan menjadi agama persekutuan, dukacitanya masih ramai lagi tidak faham mengenainya.
Islam adalah agama sejagat. Ia bukanlah agama eksklusif satu kaum sahaja. Sesiapa pun boleh menjadi orang Islam tanpa mengira darjat atau keturunan.
Tugas sekalian rasul yang diutuskan untuk mengajak manusia supaya menyembah Allah SWT, sekaigus menjauhi amalan taghut( iaitu menyembah syaitan,berhala dan tiap-tiap sesuatu yang menyesatkan)
Kini, peranan itu perlulah diteruskan oleh kita orang Islam, apatah lagi masih ramai manusia yang ingin tahu mengenai agama suci ini dan keistimewaannya.
Mari kita mengajak manusia kepada Allah SWT. Kita berkongsi dengan mereka kebaikan, kegembiraan dan keuntungan dalam Islam.
Disunting dari akhbar Harian Metro (Bersama Prof Dr TaufiqYapYun Hin)
*Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di UPM
Comments
Post a Comment