CERITA I
Menjadi penjual herba berubat di hospital, selain setiap hari perlu berhadapan risiko ditangkap oleh pengawal, perkara lain yang perlu saya bimbangkan adalah berkenaan stok barangan herba saya yang diletakkan di surau.
Sebenarnya, jauh dalam hati saya berasa bersalah kerana seperti menjadikan surau di hospital itu seperti stor pula untuk saya. Tetapi, apalah daya saya. Saya tidak ada pilihan lain selain daripada surau itu. Mujur jugalah surau itu dijaga baik dan barangan herba saya ikut selamat.
Tetapi pada hari itu, selepas saya mendapatkan seorang pelanggan dan mahu mendapatkan barangan herba yang dibeli, saya pergi ke surau dan terkejut kerana semua barangan saya hilang entah kemana.
Waktu itulah saya berada dalam keadaan yang serba salah. Mahu mengadu kepada pengawal keselamatan, nanti identiti saya terbongkar pula. Mahu melaprkan kepada pihak polis, masalahnya tetap sama, iaitu identiti saya terbongkar. Maka, mahu tidak mahu, terpaksalah saya bertanya ke sana-sini. Sayangnya tidak ada seorang pun yang tahu siapa mengambil barang herba saya.
Dengan hati yang kusust kerana memikirkan hutang barangan herba yang perlu dibayar, saya duduk di kafe hospital. Pada ketika itulah Amin, tuan punya kafe datang lalu duduk di sebelah saya dengan wajah yang tersenyum
"Mengapa muram? soal Amin dengan baik.Akhirnya saya menceritakan duka saya. Cerita berkenaan barangan herba berubat yang sudah hilang. Di mana saya mahu mencari wang sebanyak ribuan ringgit bagi membayar kos barangan herba itu?
Akhirnya saya berkata juga, "Apa yang perlu saya buat sekarang?".
Amin hanya mampu menepuk-nepuk bahu saya. Dia dengan baik sekali berkata, "Dalam keadaan begini, perkara pertama yang perlu kamu buat adalah merenung diri kamu sendiri"
"Maksudnya?" saya menjeling.
"Maksudnya, sekiranya betullah barangan kamu itu dicuri oleh pencuri jangan marahkan pencuri, tetapi periksa diri kamu sendiri. Pencuri itu sebenarnya sudah menjalankan takdir Allah ke atas kamu. Itulah yang kamu perlu fikir, mengapa Allah mentakdirkan barangan kamu dicuri? Mengapa?"
Soalan Amin itu membuatkan gundah hati saya semakin membesar. Bayangan jawapan bagi soalan itu sebenarnya sudah ada, tetapi masih samar.
" Mohon maaf sekiranya saya bertanya," soal Amin membuatkan saya semakin gusar. Soalan apa pula yang mahu dia tanya sehingga mahu meminta maaf?
"Apa yang mahu awak tanya?" soal saya pula dengan hati yang berdebar-debar.
"Saya mempunyai satu konsep, pencuri itu adalah pencuci duit haram. Maka, pencuri tidak mencuri duit yang halal. Jadi, adakah kamu sudah berbuat sesuatu sehingga duit yang kamu peroleh itu menjadi ttidak halal?"
Hati saya berdebar-debar. Saya segera mula mengaitkan adakah kerana saya menjual herba berubat secara sembunyi-sembunyi di hospital itu menjadikan pendapatan say tidak halal? Soalan itu saya tidak mampu jawab dengan baik, dan saya hanya mampu menggeleng-geleng. Bukan tanda tidak tahu, tetapi tanda saya takut mahu mengaku.
Dalam diam itulah saya berdoa dalam hati, "Ya Allah ampunkan dosa-dosa saya ya Allah"
...................................................................................................................................................................
CERITA II
Sudah hampir lima tahun saya diberi kontrak di kafe hospital ini. Sudah lima tahun juga saya berada di sekitar hospital, dan hampir setiap hari saya mendengar serta melihat sendiri kisah-kisah manusia yang pelbagai ragam di sini.
Ada kisah yang seperti nampak biasa-biasa, tetapi mengandungi hikmah yang besar. Ada kisah yang nampak besar tetapi hanya sedikit sahaja hikmah yang dapat diperoleh. Ada juga kisah yang ajaib, dan kisah itulah yang saya mahu kongsi. Kisah yang saya peroleh daripada seorang penjual herba yang hampir putus asa.
Penjual Herba
Memang saya sering melihat lelaki itu ke sana ke sini tanpa tahu apa pekerjaannya. Apabila ditanya, jawabnya dia cuma menolong orang di hospital. Lalu sangka saya, dia mungkin penjual insurans yang sedang melawat pesakitnya.
Namun pada hari itu barulah saya tahu rahsia terbesarnya. Rupa-rupanya dia adalah penjual herba berubat di hospital. Saya tidak tahu peraturan hospital itu bagaimana, namun secara logik dapat saya fikirkan menjual ubat-ubatan apatah lagi herba yang belum pasti mujarabnya di kawasan hospital adalah dilarang. Tetapi, tidaklah saya terfikir mahu membocorkan rahsianya kerana pada hari itu dia mengajarkan saya sesuatu yang berharga.
Ketika itu, dia sedang bersedih. Barangan herba yang disimpan di dalam surau hilang entah ke mana. Apabila nampak dia seperti hilang harap, saya sedaya upaya memberikan kata-kata semangat supaya dia bangkit berjuang.
Akhirnya, pada ketika saya bertanya, "Jadi, apa yang awak mahu buat sekarang?"
"Saya fikir tidak ada orag yang salah. Mungkin ada orang yang terambil barangan saya itu. Tunggu sahajalah. Mungkin dia akan pulangkan."
Mendengarkan keyakinan itu, saya menjadi hairan. Walaupun sudah patah semangat, tetap juga dia cuba memulihkan semangat dengan kata-kata begitu. Tetapi saya tetap risau mengenangkan itulah kata-kata semangat yang tidak pasti benarnya, dan pasti ia juga sangat berisiko.
"Bagaima kalau itu tidak benar?" soal saya ragu-ragu.
Dia sempat tersenyum sebelum berkata, "Orang yang berjaya adalah orang yang tidak suka menyalahkan orang lain, kerana kita akan dapat apa yang kita jangka. Jadi, selepas berfikir-fikir, saya menjangka orang cuma tersalah ambil. Lagi pula, apalah nilainya barangan herba itu."
Walaupun saya ragu-ragu dengan kata-katanya itu, tetap jugalah saya mengucapkan selamat kepadanya, dan di situlah ajaibnya bermula. Tukang cuci hospital yang sudah lama saya kenali datang ke arah kami dan berkata perlahan, "Tadi ada tukang cuci terambil plastik hitam dari surau. Siapa yang punya?"
Waktu itu jugalah lelaki penjual herba itu bingkas bangun dengan wajah penuh semangat. Saya pula sepertinya masih tidak percaya melihat keajaiban yang tiba-tiba sahaja berlaku. Benarlah kata penjual herba itu, kita memang akan dapat apa yang kita jangkakan, kerana jangkaan itu sendiri adalah doa, dan dalam bahasa yang lebih mudah, kita akan dapat apa yang kita doakan. Namun, tetap sahaja cara penjual itu mendapat apa yang dia jangkakan itu yang ajaib pada saya.
...................................................................................................................................................................
CERITA III
Saya seorang yang begitu percaya kepada rahmat Allah. Rahmat Allah itu juga saya percaya daripada pelbagai jenis kebaikan yang dilakukan oleh manusia. Manusia cuma tinggal memilih sahaja kebaikan bagaimana yang mahu mereka lakukan.
Lalu, bercakap berkenaan rahmat itu memang mudah, tetapi bagi memperolehnya adalah begitu sukar. Saya sendiri tidak tahu, bila rahmat Allah itu turun, dan bagaimana bentuknya. Tetapi pada hari itu saya belajar daripada perempuan tua yang sudah lama menjadi tukang cuci hospital.
Pada suatu hari, seorang tukang cuci yang masih muda, yang baru masuk bekerja menemui plastik hitam yang berisi barangan yang saya sendiri tidak tahu apa. Daripada plastik hitam yang entah kepunyaan siapa itulah, saya belajar daripadanya berkenaan rahmat menolong orang.
Tukang Cuci Muda
Tukang cuci yang baru masuk itu tugasnya membersihkan surau. Hari itu adalah hari pertama dia bertugas membersihkan surau. Lalu, sebagai orang baru, apa sahaja yang kurang kena pada matanya akan segera diambil. Pada ketika itulah dia terambil plastik itu sebelum menyedari, yang itu bukanlah sampah.
Tidak tahu apa yang mahu dilakukan, dia memberikan plastik itu kepada saya, dan saya sebenarnya turut ikut bingung mahu dibuat apa pada plastik yang berisi barangan yang saya tidak tahu apakah jenisnya itu.
Saya memberitahu, "Letakkan kembali ke tempat yang kamu jumpa. Mungkin ada orang yang tertinggal barangannya di situ."
Baru sahaja tukang cuci itu mahu meletakkan barangan itu, datanglah tukang cuci perempuan yang sudah lama saya kenali.
Katanya, "Sudah cuba cari siapa tuan punya plastik itu?""Mahu cari di mana?" soal saya kembali.
Tanpa banyak bertangguh, makcik tukang cuci itu mengambil plastik hitam, lalu berjalan ke ruang legar hospital, bertanya kepada seorang demi seorang yang dia jumpa, sama ada plastik hitam itu barangan dia ataupun bukan.
Saya sebagai pengawal keselamatan yang masih muda, terkedu melihat tingkah laku itu. Dia tidak langsung dipaksa untuk berbuat begitu, malah pada wajahnya langsung tidak terlihat beban ataupun terpaksa. Semuanya nampak tenang dan begitu ikhlas. Segera saya membanding diri saya. Saya menarik nafas dalam-dalam.
Tanpa dia sedari, saya ikuti setiap langkah makcik itu. Dari ruang legar, dia menuju pula ke tempat menunggu ubat dan akhirnya menuju ke kafe. Ajaibnya, dia menemui tuan punya plastik itu di kafe.
Namun, takjub saya sebenarnya baru bermula kerana selepas itu ada takjub yang lebih besar. Saya bertanya kepada makcik itu, "Subhanallah, belum pernah saya melihat orang seperti makcik yang berusaha dengan bersungguh-sungguh membantu orang lain. Mengapa makcik buat begitu?"
"Saya ini sudah tua, pelajaran tidak tinggi, gaji pula gaji orang miskin, jadi apa lagi yang dapat saya tawarkan kepada manusia lain selain bantuan yang tidak seberapa ini? Ingatlah, rahmat Allah itu sentiasa turun kepada manusia yang berbuat baik, dan rahmat itu juga turun kepada orang yang menolong orang lain. Itulah yang saya harapkan, semoga pekerjaan saya ini diberi rahmat dan tetap berada dalam reda Allah. Apa lagi yang lebih besar di dunia ini selain daripada rahmat dan reda Allah ke atas kita?"
Itulah kata-katanya membuatkan saya begitu takjub, Ternyata, walaupun dia cuma tukang cuci, tetapi hatinya itu terlalu besar, terlalu besar sehingga saya tidak sedar air mata saya bertakung.
Penulis: Prof Dr Muhaya & Bahruddin Bekri
Comments
Post a Comment